Saturday, October 8, 2016

Monolog #1

Ego tinggi melangit dan kau rasa kuat macam badang. Semua pun boleh. Semua pun okay. Kau langgar segala macam pantang. Kau buat semua ikut rasa hati. Sebab kau tak mahu dilihat lemah. Kau tak mahu menyusahkan. Dan kau tak mahu ditinggalkan. Ha! Itu yang paling kau takutkan. Ditinggalkan dan dibiarkan keseorangan. Tiada teman. Tiada kawan.

Tapi sayang semua itu hanya perasaan. Bilamana kau mula tewas, segala ego dan kekuatan tadi jatuh menjunam. Ibarat air hujan yang turun membasahi bumi, begitulah juga segala ego dan kekuatan kau. Gugur satu persatu. Berderai. Nah, sekarang mana perginya kau yang gagah perkasa? Kau akhirnya terduduk terjelepok menyembah bumi. Kau gagal. Kau kalah dalam menahan rasa. Kau menyerah diri walau sekuat mana kau cuba bertahan. Jasad kau tewas dalam perjuangan minda kau sendiri.

Ya pasti kau semua akan tanya di mana tuhanmu? Dia ada sentiasa. Mana pernah tinggalkan kau sendiri. Maka kau akan kata, memang betul tuhan ada disetiap helaan nafas kau. Dan kau tak pernah menafikan. Tapi kerana hakikat yang kau manusia lemah. Kau lemah kerana kau masih memerlukan seseorang yang fizikal berada berhampiran. Menjadi peneman yang kau katakan kau kesunyian. Kasihan. Betul-betul kasihan.

Ha! Apa lagi yang kau tunggu? Bangun! Cepat bangun! Ambillah masa tapi jangan terlalu lama. Jangan biar dilihat dunia siapa diri kau yang sebenar. Jangan biar mereka lihat sisi kau yang sadis ini. Biarkan mereka lihat kau kuat seperti selalu. Biarkan mereka terus biasa dengan idea yang kau sentiasa menggembirakan mereka. Jangan pernah hilang untuk mereka. Dan kau tahu kau mampu. Lekas bangkit semula!

Bangkit dan moga kau terus tabah!

No comments:

Post a Comment

beautiful mind + beautiful soul = beautiful you

Read more: http://www.pengerindu.com/2011/12/dapatkan-facebook-like-fanpage-popup.html#ixzz28HHMQhBs